#6 Terima Kasih 6 Bulan, F.O.S!
- pin-nyra!
- Jun 25, 2020
- 3 min read
Updated: Nov 12, 2020

Assalamualaikum w.b.t.
Memandangkan Nyra sudahpun bergraduasi pada bulan 10 tahun lepas, makanya Nyra berazam untuk mencari kerja di sini. Kerja apa-apa asalkan dekat dengan rumah. Hahah. Sementara nak cari kerja tetap, Nyra tekad mencari kerja part-time di pusat beli belah. Rajin jugalah mengelilingi kedai mana yang rasa sesuai di mata dan nak mencuba sesuatu baru. Akhirnya, Nyra memulakan langkah pertama menjejaki di kedai baju fesyen. Alhamdulillah, dapat juga kerja sementara nak tunggu kemasukan belajar di peringkat seterusnya. Rezeki!
Industri peruncitan ini banyak cabang perniagaan yang diusahakan. Contohnya, pasaraya barang mentah, alat tulis, kedai serbaneka dan lain-lain. Nyra pernah ‘berkecimpung’ dalam bidang industri peruncitan alat tulis sewaktu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama enam bulan. Bekerja sebagai pembantu kedai secara pekerja separuh masa (masa kerja : full-time, posisi; part-timer). Sebab dah pernah bekerja dalam bahagian tersebut, jadinya Nyra mahu mencuba pelbagai variasi industri peruncitan baju fesyen pula.
Nyra tak pernah tahu apa itu F.O.S. Pernah dengar jenama Padini dan Brand Outlet, tapi tak pernah tahu F.O.S. Hahah. Teruk nau nau. Bila buat sedikit kajian dalam internet, rupa-rupanya baru tahu F.O.S ni besar juga namanya dan banyak cawangan dibuka di serata Malaysia. Pelancong dari Singapura dan Indonesia pun tahu juga pasal F.O.S ni tau! Hahah.
Sepanjang bekerja di kedai pakaian ni kan, masa bekerja sangat fleksibel dan dapat lah tahu serba sedikit sistem kerja harian mereka. Cuba teka apa yang menarik F.O.S ni? Haha. Biasa saja lah ya. Kalau siapa nak bergaya ikut trend terkini, dan harga pakaian mampu milik lah bak kata orang sekarang, harga mur mur (murah), haa F.O.S lah tempatnya.
Jom Nyra kongsikan tips asas berdasarkan pemahaman dan pengalaman sendiri sepanjang bekerja. Selamat mencuba!
Cara-cara mohon kerja sebagai Pembantu Kedai (Retail Assistant) Separuh Masa
1. Temuduga langsung masuk /Direct walk-in interview oleh Penyelia/Supervisor
2. Isi borang, baca syarat dan terma beserta tandatangan
3. Salinan kad pengenalan (1 helai)
4. Salinan akaun bank CIMB (1 helai)
5. Nombor akaun KWSP
6. Gambar passport (2 keping)
7. Deposit peti besi (RM 25)
8. Uniform F.O.S (2 helai, RM 10)
Waktu Kerja
1. Pagi /Morning (10.00 pagi - 6.00 petang)
2. Tengahari /Noon (12.00 tengahari - 10.00 malam)
3. Petang /Afternoon (2.00 petang - 10.00 malam)
4. Penuh /Full (10.00 pagi - 10.00 malam)
Peranan sebagai Pembantu Kedai (Retail Assistant) Separuh Masa
1. Membantu pelanggan mencari pakain diperlukan
2. Memberitahu berkaitan promosi semasa dijalankan kepada pelanggan
3. Menjalankan tugasan pembersihan dan susun atur sewaktu pembukaan dan penutupan kedai
4. Menjalankan proses dan penghantaran stok
Ada apa dengan F.O.S?
1. Dulunya F.O.S ni terkenal dengan baju ditolak atau rejected dari jenama Padini dan sebagainya dengan harga yang murah. Bila kadar trafik pelanggan menaik, F.O.S mula mencipta jenama sendiri. Sumber daripada pekerja lama di situ.
2. Harga ditayangkan semuanya berakhir dengan nombor ganjil. Harga akan bermula dari RM 9, RM 19, RM 45 dan sampai RM 189. Kebiasaanya, akan jual ‘2 for RM 69’, ‘3 for RM 45’ dan lain-lain. Setakat Munirah bekerja tiadalah pula harga baju sampai RM 189 tu. Ini salah satu cara pemasaran harga yang baik lah.
3. Kalau kita perasan kan, macam mana kita nak tahu jenis pakaian kita beli tu? Tahu tak? Cuba lihat pada tanda harga pakaian, pasti lihat juga ada nombor kod 12 angka kan? Haa dekat situlah nanti kita dapat tahu nombor-nombor tersebut sebenarnya merujuk kepada sesuatu. Boleh rujuk kotak dibawah. Sedikit sebanyak dapatlah tahu jenis baju yang dibeli. Tambah, Nyra selitkan juga jenama yang ada di F.O.S.

4. Beralih ke seterusnya, kita belajar proses menguruskan pemulangan stok (return stock). Nyra selalu ada dalam bahagian pemasangan (packaging). Ada dua jenis pemulangan stok iaitu pemulangan stok ke cawangan (outlet) lain dan pemulangan stok ke ibu pejabat (HQ). Pemulangan stok ke cawangan lain akan menggunakan pelekat hijau manakala pemulangan stok ke ibu pejabat akan menggunakan pelekat biru.
a. Penyelia akan mengisi kuantiti dalam borang (Stock Requisition Form) selepas mendapat permintaan oleh cawangan/HQ yang memerlukan stok.
b. Orang yang bertanggungjawab akan melipat, memasukkan, dan membalut pakaian diperlukan dengan menggunakan plastik disediakan.
c. Hanya perlu mengisi nama cawangan/HQ diperlukan, kuantiti yang betul dan nama yang menguruskan di atas pelekat hijau/biru.
d. Penyelia akan memeriksa kali kedua sebagai langkah kepastian.
5. Kerja yang mudah dan perlu berhati-hati!
Jadi dipendekkan ceritanya, ini sahaja Nyra sempat bersembang. Nak perincikan dalam bidang peruncitan, mungkin perlu banyakkan membuat kajian dengan lebih mendalam. Nyra berpeluang bekerja dalam lingkungan kira-kira 6 bulan. Musim Covid-19 antara faktor kedai F.O.S ini telahpun membuat keputusan untuk menutup kedai ini. Tak boleh nak kata apa lah. Sampai sini sahaja rezeki nikmat bekerja sementara bersama mereka. Banyak pengalaman yang dapat diperolehi dan boleh tambahkan ke dalam resume sendiri. Hehe.

Secara amnya, norma kerja di mana-mana adalah sama sahaja tidak kira di bahagian peruncitan mahupun profesional seperti pejabat. Sesuatu pekerjaan tidaklah sesusah mana sehinggalah kita sendiri bersikap positif untuk sentiasa menyenangkan pekerjaan kita. Bekerja sebagai pembantu kedai ini memerlukan tenaga mental dan fizikal yang cukup kuat untuk berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan yang datang membeli-belah di kedai. Pesanan terakhir, sentiasa senyum dan berfikiran positif apa yang berlaku pada setiap hari kita bekerja. Jumpa nanti!
Wassalam.
Commentaires